Tukar cara hidup berbanding jual beli

Perniagaan dianggap satu proses meraih keuntungan bagi sebahagian peniaga. Ada beranggapan definisi perniagaan tidak dapat tidak menjadikan istilah ringgit dan sen sebagai perkara wajib ada. Bagi para peniaga mamak, menukar cara hidup melalui perniagaan adalah sesuatu yang bersifat berpengaruh bagi satu tempoh jangka panjang berbanding soal untung semata-mata.

Roti canai, nasi lemak, teh tarik bukan semata-mata produk dan khidmat kepada pelanggan lagi. Ia menjadi budaya dan cara hidup tempatan. Kejayaan mamak mengasimilasikan budaya pemakanan ke dalam setiap bangsa di Malaysia membuktikan daya tahan perniagaan berasaskan makanan sangat bergantung kepada perubahan selera yang konsisten.

Cara hidup pelanggan sangat terpengaruh dengan menu makanan yang dipesan. Ia bermula dari sarapan pagi sehinggalah malam. Setiap satu hidangan yang disediakan bukan sahaja mudah dari sudut penyediaan dan memenuhi kecepatan masa layanan, malah menjadi hidangan yang diterima pada setiap keadaan.

Dari makanan yang bergoreng sehinggalah yang berkuah. Dari hidangan yang panas kepada yang sejuk. Para pengusaha restoran mamak amat bersedia memenuhi setiap kehendak pelanggan. Kebijaksanaan mamak dalam menyediakan menu yang sesuai dengan pecahan tiga zon masa perkhidmatan memberikan alternatif kepada para pelanggan untuk memilih apa sahaja makanan yang diinginkan.

Pembudayaan dalam perkhidmatan makanan memberi kelebihan kepada pengusaha restoran mamak untuk mencipta satu aliran keuntungan yang konsisten. Pada masa yang sama pembudayaan ini dapat dilihat dari pemilihan lokasi bagi pelanggan untuk mendapatkan pesanan mereka.

Hari bekerja menjadi fokus kepada para pengusaha restoran mamak memfokuskan layanan dalaman, iaitu para pelanggan datang seawal pagi untuk menikmati hidangan di restoran sahaja. Berbeza pada hujung minggu, kekerapan para pelanggan yang datang tidak sekerap hari bekerja. Maka fokus layanan luaran memainkan peranan khususnya para pelanggan yang lebih berminat memesan makanan untuk di bawa pulang.

Bandar-bandar besar di mana pengusaha restoran mamak sangat aktif berniaga menunjukkan satu corak hidup yang menarik. Budaya duduk di restoran mamak pada malam hujung minggu atau pada hari-hari cuti di kalangan dewasa dan remaja sudah menjadi perkara biasa. Tidak dinafikan aktiviti bercuti di kalangan mereka yang berkeluarga menjadikan restoran mamak sebagai pilihan makan bersama. Budaya pemakanan juga menjadi aktiviti kehidupan yang menjadi fokus para pengusaha restoran mamak.

There are no comments on this post.

Tinggalkan komen