Bisnes yang diceburi Mamak

Perniagaan India Muslim telah mencipta jenama ke atas diri mereka dengan mencipta perkaitan yang kuat antara produk dan diri mereka.

Ia begitu berjaya sehinggakan apabila produk tersebut disebut, maka imej peniaga-peniaga India Muslim muncul dalam fikiran pelanggan.

Peranan pelanggan yang kerap mengaitkan produk dan peniaga India Muslim membantu secara langsung mengukuhkan hubungan ini.

Apa sahaja bentuk perniagaan yang diceburi oleh peniaga India Muslim ia tidak bermakna itulah satu-satunya perniagaan yang mereka mampu kuasai.

Sebagaimana peniaga-peniaga bangsa lain, perkembangan sesebuah perniagaan bermula pada jenis perniagaan yang mempunyai jangkaan risiko yang rendah. Asas perniagaan kecil bagi kebanyakan peniaga-peniaga India Muslim ialah untuk mencipta modal.

Empayar perniagaan India Muslim di Malaysia kebanyakan bermula dari perniagaan kecil yang akhirnya dikembangkan kepada beberapa cabang berkaitan atau mencipta satu perniagaan baru yang mempunyai ciri-ciri jauh berbeza daripada perniagaan awal mereka.

Terdapat beberapa perniagaan utama yang diceburi oleh peniaga-peniaga India Muslim di Malaysia.

Makanan

Perniagaan berasaskan makanan adalah perniagaan India Muslim yang paling pesat berkembang dan muncul di beberapa buah negeri sekitar Malaysia. Kemunculan ini bermula dengan lahirnya kedai mee goreng, rojak dan cendol secara mobil. Kemudian ia berkembang kepada gerai roti canai dan akhirnya berkembang kepada restoran.

Hari ini perniagan restoran diperkukuhkan melalui perlesenan satu nama perniagaan yang sama dan konsep ruang restoran yang tidak jauh beza.

Ada juga perniagaan India Muslim yang mempunyai konsep restoran dan pilihan makanan yang jauh berbeza daripada yang bersifat India Muslim tradisional.

Lebih menarik lagi, ada pengusaha restoran yang turut menjalankan khidmat katering menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah dengan kuantiti tertentu.

Tekstail

Peniaga India Muslim turut terlibat secara langsung dalam perniagaan tekstil. Ia melibatkan perniagaan kain ela, pakaian lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

Kebiasaannya, perniagaan tekstil peniaga India Muslim akan menggabungkan pelbagai kategori pakaian dan tekstil yang berkaitan di bawah satu premis perniagaan.

Satu premis dengan premis perniagaan India Muslim yang terlibat dalam perniagaan ini kebiasaannya akan terletak berdekatan. Ia mungkin di deretan jalan yang sama. Para pelanggan akan mendapati lebih dari satu kedai tekstil yang boleh dikunjungi untuk mendapatkan produk.

Peruncitan

Perniagaan bersifat peruncitan yang diceburi oleh peniaga India Muslim wujud dalam skala kecil dan besar. Skala kecil melibatkan kewujudan kedai-kedai runcit khusu bagi keperluan taman-taman perumahan, kawasan kejiranan, kampung, kawasan rumah pangsa dan pekan.

Peruncitan menawarkan barangan keperluan harian jenis kering atau basah.

Peruncitan skala besar melibatkan pembukaan gedung membeli belah bertaraf pasaraya atau borong. Peruncitan dalam kategori ini menggabungkan jenis-jenis kategori lain di bawah satu premis.

Perniagaan berasaskan tekstil, hiasan rumah seperti permaidani, hiasan diri seperti barang kemas, buku, akhbar dan majalah ditempatkan pada satu premis yang sama.

Peniaga India Muslim turut terlibat secara aktif dalam aktiviti jualan secara borong untuk peniaga-peniaga lain yang ingin mendapatkan barang-barang mereka.

Penerbitan, percetakan dan pengedaran

Peniaga India Muslim turut bergiat aktif dalam penerbitan buku. Kewujudan penerbit-penerbit India Muslim sangat ketara dalam penghasilan bahan bacaan berbentuk agama untuk para pembaca beragama Islam.

Penerbit-penerbit India Muslim dikatakan turut menguasai pasaran pembaca buku-buku agama dengan ratusan judul yang diterbitkan melalui karya penulisan tempatan dan luar negara khususnya negara Indonesia dan Timur Tengah.

Karya-karya tersebut diadaptasikan ke dalam bahasa Melayu sebelum dicetak dan diedarkan. Kekuatan penerbit-penerbit India Muslim bukan sahaja berjaya memenuhi kehendak pembaca buku-buku agama malah pusingan ulang cetak setiap buku memperkembangkan industri yang diceburi tersebut.

Selain itu, penerbit-penerbit India Muslim turut melihat kepada keperluan mencetak buku-buku umum pada harga yang lebih rendah bagi keperluan pembaca kelas menengah dan ke bawah.

Mereka juga menjadi pengedar buku-buku penerbit lain. Tambahan lagi, keupayaan memiliki mesin cetak menjadikan mereka tumpuan kepada para penerbit lain untuk mencetak buku-buku dan majalah melalui khidmat mereka.

Buku, akhbar dan majalah

Pembukaan kios-kios jualan akhbar, buku dan majalah di sekitar stesyen aliran transit ringan (LRT), perhentian bas, pusat membeli belah dan kawasan sekitar pejabat dan pusat pendidikan menjadi identiti peniaga India Muslim.

Sasaran pelanggan di kalangan pelajar sekolah, mereka yang bekerjaya dan penduduk sekitar menjadikan kios-kios perniagaan milik India Muslim tumpuan pada waktu sibuk iaitu pagi bagi mereka yang ingin mendapatkan akhbar dalam perjalanan ke pejabat serta petang bagi mendapakan majalah ketika menunggu pengangkutan awam.

Pola jualan pada waktu pagi dan petang menunjukkan sasaran pelanggan yang berbeza. Para pelanggan lelaki lebih ketara memilih mendapatkan akhbar pada waktu pagi selewat jam 8.00 hingga 10.00 pagi berbanding perempuan dengan keperluan mendapatkan majalah bulanan pada jam 5.00 petang ke 7.00 malam.

Rempah

Perniagaan berasaskan rempah turut menjadi tumpuan peniaga India Muslim. Ia diwujudkan bagi keperluan individu dan keperluan perniagaan yang menggunakan rempah sebagai bahan utama. Perniagaan rempah turut memberi keuntungan kepada peniaga-peniaga India Muslim yang lain yang mengusahakan restoran.

Melalui peningkatan kualiti paket pembungkusan, pemasaran produk rempah yang diusahakan oleh peniaga India Muslim rancak memenuhi kedai-kedai runcit dan pasaraya.

Barang kemas

Barang kemas melibatkan emas dan berlian juga salah satu perniagaan utama peniaga India Muslim. Barang kemas emas dan berlian dengan pelbagai rekabentuk dimiliki oleh perempuan pada pelbagai peringkat umur dengan tujuan yang pelbagai.

Kewujudan perniagaan perhiasan dan barang kemas berasaskan emas dan berlian oleh peniaga India Muslim dengan pelbagai jenis koleksi dan khidmat tempahan peribadi memenuhi kehendak pelanggan yang membeli bagi tujuan peribadi, perkahwinan dan hadiah.

Tinjauan mendapati ada peniaga India Muslim yang turut mewujudkan dua buah kedai barang kemas emas dan berlian dengan nama yang berbeza dalam satu premis perniagaan yang sama bagi tujuan memenuhi keperluan kehendak menengah atasan dan pertengahan.

Jualan barang kemas emas dan berlian sangat ditentukan dengan harga yang ditetapkan, rekaan barang kemas dan jenis pelanggan yang membeli. Dalam persaingan dengan peniaga-peniaga lain, harga rekaan barang kemas emas dan berlian tidak boleh diturun atau dinaikkan sewenan-wenangnya. Ia akan menjejaskan status perniagaan itu sendiri.

Alternatif bagi peniaga India Muslim ialah dengan mewujudkan dua buah kedai barang kemas emas dan berlian yang berbeza status dan harganya.

Perhiasan rumah

Perniagaan permaidani bukan sahaja popular di kalangan para peniaga dari Pakisan yang memperniagakan produk ini dari rumah ke rumah dengan basikal, motor atau berjalan kaki, perniagaan perhiasan rumah turut diceburi oleh peniaga-peniaga India Muslim.

Perniagaan ini sesuai bagi memenuhi keperluan perayaan dan kemasukkan pelanggan ke rumah baru yang ingin mencari permaidani sebagai hiasan rumah.

Pertukaran wang asing

Pertukaran wang asing adalah perniagaan yang popular di kalangan peniaga India Muslim. Ia tidak memerlukan ruang yang besar.

Dengan faktor keselamatan yang sepatutnya, sistem penyimpanan mata wang asing yang efisien dan pekerja yang tidak melebihi dua orang bagi sebuah premis, pertukaran wang asing menjadi tumpuan bagi pelancong dan pelanggan tempatan yang ingin menukarkan wang asing bagi tujuan ke luar negara.

Lebih menarik lagi, pelanggan tetap bagi pertukaran wang asing bukan sahaja di kalangan pelancong, mereka yang bakal mengerjakan umrah dan haji akan bertumpu ke perkhidmatan pertukaran wang asing.

Mereka yang gemar melakukan urusniaga pertukaran wang asing bagi tujuan keuntungan juga menggunakan khidmat tukaran wang asing.

Tetapi khidmat pertukaran wang asing seperti ini mempunyai nilai tertentu yang boleh diperniagakan setiap hari. Ia tertakluk kepada peraturan Bank Negara Malaysia.

Perkhidmatan pertukaran wang asing yang dijalankan oleh peniaga India Muslim hidup di mana-mana sahaja. Di kompleks membeli belah, ia wujud di ruang bawah eskalator (tangga bergerak), berhampiran dengan mesin pengeluaran wang auto dan bank.

There are no comments on this post.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: