Penulis

 

MUHAMMAD FAISAL SHARBUDIN

 

Muhammad Faisal Sharbudin dilahirkan pada 2 Disember 1979 di Kampung Pandan, Selangor. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (I) Kuala Lumpur, Ampang sebelum melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor.

Berpengalaman luas dalam dunia bisnes sejak berumur sepuluh tahun lagi. Muhammad Faisal Sharbudin dilahirkan dalam keluarga bisnes dan dididik dalam budaya perniagaan India Muslim dari rumah.

Saudara-mara beliau juga merupakan peniaga-peniaga yang aktif dalam pelbagai jenis bisnes melibatkan perniagaan runcit, kedai makan dan restoran, perniagaan pengedaran novel dan buku-buku agama, perniagaan pertukaran wang asing, perniagaan berasaskan tekstil dan perniagaan pembuatan roti.

Ayah beliau juga merupakan peniaga berasaskan runcit dan dari sini beliau mempelajari selok belok perniagaan sebelum didedahkan dengan bisnes milik saudara maranya.

Muhammad Faisal Sharbudin merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Muhammad Faisal memperolehi Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Jengka, Pahang. Kemudian beliau melanjutkan pengajian dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan dari universiti yang sama di kampus Shah Alam, Selangor.

Pengalaman bisnes beliau berkembang apabila melibatkan diri secara langsung dalam bisnes menjual makan segera di asrama dan membuat kerja-kerja separuh masa di institusi pengajian tinggi seperti menjadi agen insuran, agen unit amanah, menjual dadih di masjid dan menjalankan perniagaan-perniagaan yang bermusim.

Selain pengetahuan dalam bisnes tempatan, beliau juga mempunyai bakat kreatif dalam penulisan non-fiksyen melalui penghasilan skrip drama pentas, filem pendek, cerpen dan sajak.

Muhammad Faisal Sharbudin menjawat jawatan pembantu akauntan di sebuah firma antarabangsa.

ZAMRI MOHAMAD

Zamri Mohamad dilahirkan pada 17 November 1981 di Kuala Lumpur. Beliau merupakan graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) jurusan komunikasi dalam pengkhususan kewartawanan dan media. Terlibat sebagai penulis bebas dalam beberapa buah majalah dan akhbar tempatan sejak tahun 2001. Siri penulisan beliau yang pernah disiarkan meliputi isu-isu kekeluargaan, remaja, masyarakat dan agama.

Beliau pernah muncul di dalam akhbar dan majalah seperti Utusan Malaysia melalui ruangan Kampus, Bicara Agama, Rencana dan Pendapat, KOSMO melalui ruangan Akademik, Berita Harian melalui ruangan Rencana, majalah I, Minda, Dewan Ekonomi, Dewan Bahasa dan menjadi kolumnis bagi majalah Dewan Siswa.

Beliau merupakan bekas pembantu pembangun program secara separuh masa bersama sebuah rangkaian penyiaran Islam pertama di Malaysia, Ansar Channel, MITV. Menjadi pembantu koresponden Malaysia bagi Islam Online, sebuah agensi berita antarabangsa yang beroperasi di Dubai, Emeriah Arab Bersatu. Pernah menjawat jawatan pembantu kepada Penasihat Media, Jabatan Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pada tahun 2002-2005, beliau pernah menjadi penyelidik bebas secara sambilan bagi sebuah konsultan perunding perniagaan kecil, Sprint Marketing Concept di Kuala Lumpur. Melalui konsultan perniagaan kecil yang telah beroperasi sejak tahun 1996 ini, tugas beliau melihat trend dan perkembangan bisnes kecil khususnya dalam bidang francais dan F&B (Food and Beverages) melalui kenyataan media.

Zamri Mohamad adalah jurulatih penulis dan pengendali bengkel penulisan buku non fiksyen.

Aktif melibatkan diri sebagai peserta dalam program-program seminar-seminar, kursus, bengkel, pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar di peringkat tempatan, nasional, asia tenggara dan antarabangsa. Ini untuk membantu beliau dalam menghasilkan penulisan yang bermanfaat untuk dikongsi orang ramai.

 

%d bloggers like this: