Rahsia Bisnes Mamak di Malaysia Hari Ini TV3
Jun 27, 2008

Ruang menunggu di belakang studio
Puan Wardina, (kiri) bersama dua orang tetamu

Pandangan studio MHI dari belakang
Hadiah sempena EURO 2008
Tuan Alexander (dua dari kiri) dan Tuan Thomas (pertama dari kanan)
Penerbit MHI edisi Jumaat 27 Jun 2008, Tuan Ally Iskandar
Slot Rahsia Bisnes Mamak
27 Jun 2008
Jam 7.30 pagi
Malaysia Hari Ini, TV3

Saya menerima pesanan ringkas pada jam 6.00 pagi. Tuan Roslan mengingatkan saya program bersama Malaysia Hari Ini di TV3 pada hari ini. Saya sudah berada di Stesyen LRT Setiawangsa menuju ke Taman Bahagia. Dari sana, menuju ke Sri Pentas dengan teksi.

Suasana Sri Pentas masih sunyi, cuma para kakitangan sudah berada di sana sejak awal lagi. Sebahagian masih belum pulang sejak semalam. Farah Fauzana sedang rancak di konti Hot FM, saya agak keliru dengan kedudukan studio. Berdiri di satu sudut, rakan setugas Farah Fauzana, Faizal Ismail menyapa saya dengan senyuman pagi.

Kedatangan saya kali kedua (sebelum ini datang sebagai pelawat) adalah bagi memenuhi jemputan Malaysia Hari Ini bagi membincangkan buku terbaru bersama Tuan Faisal Sharbuddin, Rahsia Bisnes Mamak.

Pada peringkat awal ia dijadualkan pada hari Selasa tetapi dianjak ke hari Jumaat. Anjakan ini memberi lebih banyak ruang bagi pihak MHI menyediakan klip video rakaman orang ramai dan pengusaha restoran Mamak sebagai sisipan visual sepanjang sesi temuramah ringkas ini.

Kami sempat berbual pendek dengan tetamu lain. Antaranya Tuan Thomas Brandt dan Alexander Stedtfeld. Kedua-duanya warganegara Jerman yang bekerja di Malaysian-German Chamber and Industry. Dalam bahasa Jerman disebut Deutsch-Malaysische Industrie- und Handelskammer. Mereka adalah Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif di sana.

Tuan Alexander sempat bertanya apakah maksud Mamak pada buku yang saya pegang. Mereka berdua datang ke TV3 bagi merancakkan demam EURO 2008. Kulit buku yang mempunyai gambar bunga cengkih juga menjadi topik perbualan kami.

Jam menghampir 7.30 pagi, saya disapa oleh cik Fiza yang membantu menguruskan tetamu bagi segmen di MHI. Beliau menegur saya apabila melihat nama yang tertera pada nama di baju. Sebenarnya saya bereksperimen dengan pendekatan Air Asia yang selalu meletakkan nama syarikat penerbangan pada topi. Saya pula cuba-cuba belajar mempromosikan laman web zamrimohamad.com melalui cetakan pada baju. Penjenamaan dan pemasaran karya secara gerila.

Tidak lama kemudian disapa pula oleh cik Nana.

Mengapa semua orang mahu dipanggil dengan singkatan nama?

“Lama lagikah? Tuan berdua perlu ke bilik solekan.” kata cik Nana yang sama-sama menantikan Tuan Faisal.

“Sebentar lagi, jawab saya,” kemudian muncul Tuan Faisal dari pintu hadapan.

Sepuluh minit di studio bersama Tuan Fitri dan Puan Wardina Safiyyah adalah percubaan awal berada dalam rancangan siaran langsung. Malam semalam, sempatlah juga mengikuti perlawanan bolasepak Sepanyol menentang Russia. Sedikit sebanyak cerita bola sepak menjadi isi sampingan.

“Pasukan mana pilihan saudara?” soal Tuan Fitri.

“Sepanyol, 3-1,” jawab Tuan Faisal yakin.

“Rekod tiga kali juara EURO, saya yakin Jerman,” jawab saya.

“Bagaimana saudara berdua, menulis buku bersama, tetapi pasukan bolasepak mana yang akan menang, masing-masing bercanggah?” balas Tuan Fitri yang berjersi Turki sepadan dengan Puan Wardina.

Jawab saya, “Dalam penulisan Rahsia Bisnes Mamak kami bersama. Dalam soal bolasepak, kami bertentang pendapat.”

Di studio sebelah, Tuan Aziz Desa sempat pula memaklumkan kepada penonton mengenai tetamu di MHI sedang rancak bercerita mengenai Rahsia Bisnes Mamak. Tuan Roslan memaklumkan kepada kami kerana beliau menonton TV9 dari Melaka selepas sesi kami tamat.

Selepas itu, kami duduk di lobi dan dihampiri seorang kakitangan TV3 yang pada awalnya mahu menuju ke lif.

Katanya sambil jari menunjukkan satu lokasi, “Kedai Mamak di hujung sana sejak tahun 1995 Tv3 berpindah ke sini masih lagi bertahan. Orang lain sudah berpindah, mereka masih di situ.”

Terima kasih kepada Tuan Ally Iskandar selaku penerbit yang menjemput kami. Terima kasih kepada semua krew MHI, terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menonton dan terima kasih kepada semua pembaca Rahsia Bisnes Mamak.

Tidak dilupakan, terima kasih kepada penerbit PTS Professional.

Kuantiti terhad dan sedang kehabisan di pasaran. Segera miliki Rahsia Bisnes Mamak hari ini sementara stok masih ada. Klik di sini

Rahsia Mamak Bertahan dalam Utusan Malaysia 16 Jun 2008
Jun 16, 2008


Pihak penerbit menerima panggilan telefon daripada Tuan Mohd Fazil bin Abdullah apabila berlaku sedikit kejutan selepas ulasan ini disiarkan dalam Utusan Malaysia. Tuan Mohd Fazil bin Abdullah adalah Pengerusi, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Wilayah Persekutuan. Beliau memaklumkan mendapat tidak kurang daripada 200 panggilan telefon dari seluruh Malaysia kesan daripada isu yang didedahkan dalam ulasan buku ini (Klik gambar untuk membaca atau klik di sini).

Tuan Mohd Fazil bin Abdullah juga banyak membantu mengetengahkan beberapa sudut pandang baru dalam komuniti India Muslim.

Alhamdulillah saya sudah menghubungi Tuan Mohd Fazil bin Abdullah pada tarikh yang sama pada jam 8.30 malam bagi mendapatkan maklumbalas beliau berkenaan isu ini. Maka saya bersetuju membuat susulan kepada ulasan buku tersebut dengan penyataan kami (bersama Muhammad Faisal Sharbudin) berkenaan kekeliruan dan kejutan kesan daripada siaran ulasan buku terbabit

Berikut adalah petikan respon susulan kepada forum@utusan.com.my yang dihantar pada 17 Jun 2008 jam 2.30 pagi.

Respon kepada maklumbalas ulasan buku Rahsia Bisnes Mamak

Kami dimaklumkan oleh pihak penerbit bahawa ulasan buku Rahsia Bisnes Mamak oleh pengulas bebas telah menarik perhatian ramai terhadap isu yang diketengahkan.

• Berdasarkan maklumbalas Pengerusi Kongres India Muslim Malaysia, Wilayah Persekutuan, Tuan Mohd Fazil bin Abdullah pada 16 Jun 2008, ulasan buku tersebut mendorong ratusan pembaca seluruh semenanjung menghubungi Tuan Mohd Fazil berkenaan beberapa isu yang ditimbulkan sepanjang ulasan buku Rahsia Bisnes Mamak kesan daripada kejutan dan kekeliruan selepas penyiaran ulasan buku tersebut.

• Kami selaku penulis mengesahkan isi kandungan ulasan buku Rahsia Bisnes Mamak di bawah tajuk Rahsia Mamak Bertahan yang disiarkan pada 16 Jun 2008 dalam Utusan Malaysia adalah diambil daripada ceramah kami di Melaka pada Sabtu 7 Jun 2008 bertempat di ruang legar Mahkota Parade, Melaka.

• Ulasan buku Rahsia Bisnes Mamak dan isi kandungan buku setebal 239 halaman terbitan PTS Profesional yang menemui pembaca sejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 juga mengesahkan perkara berikut.

Pertama. Kami mendapati tidak ada unsur-unsur mandrem atau amalan sihir dalam sebarang bisnes yang diusahakan oleh India Muslim di Malaysia.

Kedua. Pendirian kami berkenaan isu mandrem dalam buku Rahsia Bisnes Mamak adalah di bawah panduan ayat Quran berikut,

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu,” maksud surah Hujurat ayat 6.

Ketiga. Buku Rahsia Bisnes Mamak juga mengesahkan bahawa peniaga India Muslim hanya menjadikan faktor nombor 786 yang membawa pengertian bismillah sebagai unsur ibadah dalam amalan perniagaan yakni mengingatkan para pekerja dan peniaga memulakan perniagaan dengan mengingati nama Allah.

Keempat. Buku Rahsia Bisnes Mamak juga mengesahkan faktor ibadah dan budaya warisan serta latihan dalam keluarga menjadikan perniagaan India Muslim berkembang. Perkara ini kami huraikan sepanjang 63 bab buku ini.

Kelima. Teras kepada penulisan buku Rahsia Bisnes Mamak adalah memenuhi agenda berikut,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” maksud surah Hujurat ayat 13

Keenam. Sejajar dengan hubungan pelbagai kaum ini, ia menjadi peluang kepada masyarakat mempelajari warisan tradisi yang terbaik dalam amalan bangsa masing-masing. Penulisan buku Rahsia Bisnes Mamak adalah satu daya usaha memenuhi agenda nasional tersebut.

Oleh demikian, kenyataan dibuat melalui maklumbalas ini bertujuan menjelaskan perkara yang disampaikan dalam ulasan buku terbabit.

Kami mengharapkan jawapan ini membantu merungkai kekeliruan dan meredakan kejutan kepada para pembaca ulasan buku dan KIMMA pada tarikh siaran berkenaan.

Terima kasih atas maklumbalas yang diberikan oleh pihak KIMMA khususnya Tuan Mohd Fazil bin Abdullah dan pembaca ulasan buku berkenaan.

Sebarang maklumbalas, isu dan perkara berbangkit mengenai isu ini dapatlah disalurkan kepada kami melalui e-mel bisnesmamak@gmail.com

MUHAMMAD FAISAL SHARBUDIN
ZAMRI MOHAMAD

Penulis Rahsia Bisnes Mamak

 

Kuantiti terhad dan sedang kehabisan di pasaran. Segera miliki Rahsia Bisnes Mamak hari ini sementara stok masih ada. Klik di sini