Mamak, satu perkataan pelbagai makna
April 12, 2007

erkataan mamak mempunyai pelbagai maksud berdasarkan budaya, amalan, lokasi geografi dan bangsa. Pelbagai maksud mamak dalam konteks dalam dan luar negara menjadikan ia menjadi perkataan yang universal yang difahami melalui kaca mata masyarakat setempat.

Jika saudara ke Ankara, Turki saudara pasti menemui sebuah daerah yang dipanggil Mamak. Dalam sejarah Malaysia, kedatangan India Muslim dari Selatan India bermula pada kurun ke 10. Mereka pertama kali datang ke gugusan kepulauan Melayu melalui Samudera. Kini dikenali sebagai Aceh, Sumatera, Indonesia. Kemudian mereka berhijrah ke semenanjung Tanah Melayu.

Dalam konteks Asia Tenggara, istilah Mamak merujuk kepada masyarakat India Muslim. Perkataan Mamak diguna secara meluas oleh orang tempatan kerana kecenderungan penutur bahasa Tamil di kalangan India Muslim yang menggunakan perkataan maama. Perkataan ini digunakan sebagai panggilan untuk orang yang lebih tua. Perkataan mamak bermaksud bapa saudara sebelah ibu. Apabila perkataan ini diserap masuk ke dalam bahasa tempatan, istilah mamak membawa maksud baru iaitu panggilan hormat untuk orang yang lebih tua dan tidak dikenali.ketika ditemui untuk berurusan atau menemuinya.

Hari ini, panggilan Mamak di Malaysia dan Singapura merujuk kepada komuniti India Muslim. Bagi sesetengah India Muslim, panggilan Mamak dianggap merendah-rendahkan dan label yang tidak elok digunakan.

Maksud perkataan mamak telah diasimilasikan dengan budaya tempatan. Perkataan Mamak merujuk kepada konsep operasi perniagaan secara terbuka ala al fresco yang didominasi oleh India Muslim. Perkataan Mamak juga digunakan sebagai gambaran maksud budaya makan di luar secara terbuka pada waktu malam.

Mamak atau India Muslim mempunyai catatan panjang sejarah kemasukan ke Tanah Melayu yang sehingga kini mempengaruhi sosio budaya dan ekonomi masyarakat tempatan.

Mamak dan variasi bisnes
April 12, 2007

Bagi India Muslim dari etnik Thenkasi di Pulau Pinang, mereka dikenali dengan sikap kerja kuat tetapi mempunyai minat yang sederhana terhadap perniagaan. Mereka menjual daging, ikan, barang runcit skala kecil. Ada yang menjadi pekerja pelabuhan dan berkhidmat di sektor kerajaan. Kaum wanita pula memasarkan rempah. Sejarah mencatatkan mereka mengedarkan produk tembakau buatan tangan dalam pelbagai bentuk.

Penglibatan dalam sektor kerajaan memperlihatkan tokoh-tokoh di kalangan India Muslim. Ada juga yang menjawat jawatan tinggi seperti Tan Sri Ali Abu Hassan, bekas Gabenor Bank Negara.

Pemilihan jenis pekerjaan dan perniagaan juga menampilkan identiti etnik India Muslim yang pelbagai. Ada yang giat dalam industri perkapalan, angkutan berat, penyediaan bahan mentah industri, menyediakan pekerja bagi muat turun kargo selain daripada terkenal sebagai pengimport bijirin dan produk pengguna.